Dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah Negara Keusahawanan menjelang tahun 2030, budaya dan pemikiran keusahawanan perlulah dibentuk di kalangan masyarakat Malaysia. Dasar Keusahawanan Negara 2030 menggariskan lima objektif dasar iaitu mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif, membentuk masyarakat Malaysia yang berpemikiran dan berbudaya keusahawanan, meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti dan berprestasi tinggi, mempertingkatkan prestasi perniagaan Industri mikro, kecil dan sederhana dan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.
Sehubungan itu, Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE) menawarkan pelbagai program berkaitan keusahawanan untuk menghasilkan graduan UTeM yang bercirikan keusahawanan. Program-program anjuran CREATE melibatkan program kesedaran ke arah kepentingan keusahawanan, program pembudayaan keusahawanan dan kesedaran untuk menjadi seorang usahawan selepas bergraduat.
Program kesedaran kepada kepentingan keusahawanan merangkumi pengetahuan dan kemahiran asas berkenaan keusahawanan dan kepentingan keusahawanan. Melalui program ini, pelajar akan diterapkan dengan nilai-nilai keusahawanan yang positif seperti inovatif, kreatif, berani mengambil risiko dan tidak berputus asa. Pelajar juga akan didedahkan tentang perancangan dan strategi perniagaan.
Program pembudayaan keusahawanan akan memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan ilmu keusahawanan di mana pelajar akan didedahkan dengan aktiviti keusahawanan sebenar. Program pembudayaan keusahawanan membolehkan pelajar menjalankan perniagaan sendiri semasa dalam pengajian seterusnya melatih pelajar mengurus sumber-sumber perniagaan seperti kewangan, sumber manusia, maklumat dan aset, mengurus masa, bekerja dalam pasukan serta melatih pelajar menjadi pemimpin.
Program kesedaran menjadi seorang usahawan, akan membantu pelajar untuk terus terlibat dengan keusahawanan selepas bergraduat. CREATE akan membantu pelajar yang berminat untuk menjadi usahawan selepas bergraduat dengan program-program latihan yang sesuai, menyediakan khidmat nasihat dari agensi luar dan juga khidmat mentor dari kalangan staf akademik.
Dr. Isma Addi Bin Jumbri
Pengarah
Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE)
Universiti Teknikal Malaysia Melaka