Assalammualaikum Wrt. Wbt. dan Salam Sejahtera,
Didoakan YBhg. Datuk/Dato’/Datin/Datin Wira/Prof./Prof. Madya/Dr./Tuan/Puan/ Cik sekeluarga dan kita semua sihat sejahtera serta berbahagia selalu.
INFO CREATE, HEPA: TAHNIAH! UTeM RANGKUL NAIB JOHAN DI CABARAN ‘STRUCTURED ENTREPRENEURIAL INCUBATOR PROGRAM & PITCHING COMPETITION (SEIP 2022)’
Alhamdullilah, sukacita dimaklumkan pasukan inkubator Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah merangkul Naib Johan (Pitching Competition) dengan membawa pulang RM 2000.00 dan juga RM 1000.00 setelah dinobatkan penerima Anugerah Inovasi Terbaik (Kategori Perkhidmatan) di cabaran ‘Structured Entrepreneurial Incubator & Pitching Competion (SEIP 2022)’ anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Untuk makluman semua, SEIP 2022 merupakan inisiatif program keusahawanan nasional di bawah KPT yang bertujuan membangunkan syarikat pelajar berteraskan produk inovasi dan teknologi. Inisiatif ini selari dengan hasrat KPT menerusi Pelan Tindakan Keusahawanan 2021-2025 dalam melahirkan lebih ramai usahawan graduan yang inovatif dan kreatif serta berfokuskan kepada ‘opportunity driven entrepreneur, instead of necessity driven entrepreneur.’ Ini juga seiring dengan hasrat universiti bagi melahirkan lebih ramai usahawan teknikal dalam kalangan pelajar UTeM.
Majlis penutup yang berlangsung semalam di UMK, Kampus Bachok telah disempurnakan oleh YBhg. Datin Noorazah Binti Omar, Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Antarabangsa, KPT yang mewakili YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Saudara Mohd Adzimnuddin Bin Mohd Azami yang merupakan pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) yang dibimbing oleh mentor Ir. Dr. Anas Bin Abdul Latiff, Pensyarah Kanan FKEKK telah terpilih sebagai pemenang Naib Johan bagi keseluruhan pertandingan ‘pitching’ dan juga Anugerah Inovasi Terbaik (Kategori Perkhidmatan). Pelajar dan mentor telah bersama membangunkan syarikat Eureka Technology Solution (ETS) yang menawarkan perkhidmatan ‘A Smart Baja Using IoT System for Fertigation’. Johan pula dirangkul oleh syarikat pelajar Top Agro@UPM daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), manakala tempat ke tiga jatuh kepada syarikat pelajar Poly Agro@PMS daripada Politeknik Muadzam Shah.
Untuk makluman semua, terdapat lima (5) kluster IPT telah terpilih sebagai projek rintis program ini iaitu kluster teknologi digital, sains teknologi, industri agro, keusahawanan sosial dan industri kreatif. Program ini telah berjaya melibatkan penyertaan 197 orang pelajar dan 10 IPT terpilih termasuk UTeM. Di bawah CREATE Lab, UTeM menghantar empat (4) buah syarikat inovasi pelajar dengan kerjasama dan sinergi di antara mentor yang terdiri daripada pensyarah serta di bawah penyelaras program SEIP-UTeM iaitu Dr. Mohd Amin Bin Mohamad, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT). Turut hadir bersama dengan mempamerkan produk inovasi berasaskan ‘3D Printing’ adalah syarikat Newrton Global yang diusahakan oleh Saudara Syamsul Hilmi Bin Jori dan rakan-rakan yang dibimbing oleh Ts. Aminurrashid Bin Nordin (mentor) daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).
Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE), Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan seluruh warga HEPA mengucapkan tahniah kepada para pemenang, para pelajar dan semua mentor yang terlibat dalam menjayakan program SEIP 2022.
Semoga dengan kejayaan ini akan terus menyerlahkan lagi bakat keusahawanan dalam melahirkan graduan UTeM yang holistik dan memiliki atribut keusahawanan. Kejayaan ini juga diharapkan dapat memberikan inspirasi dan seterusnya mendorong bagi melahirkan lebih ramai usahawan teknikal dalam kalangan pelajar sepertimana yang disasarkan UTeM dan KPT.
Salam hormat dan salam keusahawanan teknikal UTeM!